Friday, October 9, 2009

hukum beramal dengan hadith dho`if..


Pendapat Pertama :

Tidak dibenarkan beramal dengan hadith dacif samada hadith tersebut berstatus lemah yang sederhana secara mutlak dalam urusan hukum syariat dan yang selain daripada element tersebut. Ulama yang berpendapat sedemikian adalah seperti al-imam Yahya bin Macīn, Abu Bakr bin al-cArabī, Ibn Hazam al-Zahirī dan lain-lain lagi. Dr Muhammad Abu al-Laith al-Khair Ābadī menambah dalam bukunya cUlum al-Hadīth Asīluha wa Mucāsiruha menambah ulama masa kini yang berpegang dengan pegagan sedemikian ialah al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir dan al-Syeikh Muhammad Nasir al-Dīn al-Albanī.



Pendapat Kedua :

Boleh beramal dengan hadith dacif secara mutlak iaitu dalam urusan hukum-hukum syariat, fadail al-acamal dan al-manākib (sifat-sifat baik) sekiranya hadith dacif tersebut tidak terlalu lemah. Ulama yang berpegang dengan ijtihad ini ialah al-imam Ahmad, Abī Daud al-Sajastānī, al-imam Abī Hanifah, al-imam Malik dan sebilangan ulama yang lain. al-imam Ahmad berkata

“hadith dacif lebih aku suka berbanding dengan pendapat ulama.”

Sesungguhnya al-imam Abū Hanifah dan setengah ulama lain mengutamakan sebilangan besar hadith dacif daripada qias.

Pendapat Ketiga ;

Boleh beramal dengan hadith dacif hanya dalam urusan fadāil (kelebihan-kelebihan amal), al-manakib, al-taghrib wa al-tarhib (galakan kepada amalan dan ancaman meninggalkan amalan) sahaja dan tidak boleh beramal dengannya dalam urusan halal dan haram terutamanya urusan aqidah. Ini merupakan pendapat jumhur ulama terhadap hadith dacif dengan tambahan syarat seperti berikut ;

i- Hadith dacif itu tidak terlalu lemah kedacifannya. Rentetan daripada itu, hadith al-mucallaq, al-mursal, al-mucdal, al-munqatic, al-mudallas, al-mursal al-khafī dan begitu juga hadith al-mukhtalit, al-mutalaqqin, al-majhul dan al-mubham boleh diterima di dalam perbahasan kelebihan amalan. Ini kerana kelemahannya sederhana dan tidak terlalu melampau serta boleh dikuatkan atau boleh dinaik taraf kepada hasan li ghairih jika terdapat sanad lain yang seumpama dengannya atau lebih baik martabatnya daripada kedudukannya yang asal.

Adapun hadith yang diriwayatkan daripada perawi yang kazzab (pendusta) atau dituduh sebagai pendusta atau pelaku bidcah atau sering kali melakukan kesilapan maka tidak boleh diterima walaupun dalam urusan kelebihan amalan lebih-lebih lagi dalam urusan syariat atau perundangan Islam.

ii- Hadith dacif hendaklah berkisar tentang kelebihan amalan atau balasan amalan jahat, galakan umat Islam mengamalkan ajaran agama atau larangan dan tegahan daripada melakukan perkara yang dilarang Allah S.W.T. dengan syarat perkara tersebut merangkumi atau termasuk di dalam syariat atau dalam erti kata lain hukum beramal dengan amalan tersebut thabit dan nyata daripada al-Quran atau hadith-hadith yang boleh diterima, seperti berbuat baik kepada kedua ibu bapa, menghubungkan tali persaudaraan dan lain-lain lagi.

Hikmah daripada perkara di atas adalah mengambil pengajaran daripada al-taghrib dan al-tarhib di mana ianya menjadi perangsang dan pemangkin ketekunan dalam perkara yang terpuji dan penghalang daripada melakukan perkara yang tercela. Ibn Hajar al-Haithimi al-Makki berkata

“ Para ulama telah bersepakat harus beramal dengan hadith dacif dalam urusan kelebihan amalan kerana sekiranya hadith itu sahih (yang pada asalnya lemah tetapi terangkat martabatnya menjadi hasan li ghairih) maka diberikan hak dalam beramal dengan amalan tersebut dan sekiranya tidak maka ianya tidak termasuk atau terangkum dalam amalan yang haram dan tidak hilang hak dalam beramal dengan hadith tersebut.”

Adapun hadith al-taghrib (galakan beramal) dan al-tarhib (larangan ) yang tidak terdapat di dalam al-Quran dan hadith samada secara terperinci atau tidak terperinci seperti beribadat dengan berdiri mengadap pancaran sinar matahari, ibadah dengan senyum tanpa berkata apa-apa dan lain-lain lagi maka al-taghrib dan al-tarhib seumpama ini tidak dibenarkan kerana tidak terdapat nas dan dalil daripada sumber syarac.

iii. Hadith dacif tersebut tidak memperincikan dan menghadkan apa yang telah thabit dan nyata kesahihannya daripada al-Quran dan al-hadith. Ini kerana penambahan daripada apa yang telah ditetapkan oleh syara’ merupakan amalan bidcah dan penambahan yang sesat. Al-Syatibī berkata terdapat hadith dacif yang diriwayatkan mengenai kelebihan sesuatu amalan yang perlu dilaksanakan pada waktu-waktu tertentu dan tindakan-tindakan tertentu seperti solat al-Raghāib iaitu solat yang dilaksanakan pada awal malam Jumaat dari bulan Rejab sebanyak 12 rakaat di antara Maghrib dan Isyak. Hendaklah setiap kali dua rakaat diselangi dengan basmalah, setiap rakaat dikehendaki membaca surah al-Fatihah dan surah al-Qadar tiga kali. Adapun pada hari ke 15 bulan Rejab dikehendaki mengerjakannya sebanyak 100 rakaat. Amalan sebegini adalah tertolak kerana tidak ada nas yang memerintahkannya.

iv. al-cIz bin cAbd al-Salam menambah syarat beramal dengan hadith dacif ialah hadith dacif tersebut tidak masyhur di kalangan orang ramai supaya tidak menyebabkan manusia beramal dengan hadith dacif tersebut yang membawa kepada salah sangka bahawa perkara tersebut adalah amalan yang disyariatkan tetapi sebenarnya tidak disyariatkan. Seperti mana yang berlaku di negara India, hadith “Siapa yang memberi sedeqah kepada ahli keluarganya pada hari cAsyura maka Allah S.W.T. akan melapangkan kehidupannya selama setahun” Perkara ini menyebabkan segelintir masyarakat India mengadakan kenduri secara besar-besaran sedangkan hadith ini dacif keseluruhan jalan periwayatannya, sebahagiannya dacif yang keterlaluan dan sebahagian yang lain lemah yang sederhana.

v. Ibn Daqīq al-cAid menambah syarat yang lain iaitu pengamal hadith dacif tidak boleh terlalu yakin bahawa hadith itu adalah hadith sahih tetapi hendaklah menganggap kemungkinan hadith tersebut berstatus sahih supaya tidak menisbahkan apa yang bukan daripada Rasulullah s.a.w.

vi. Hendaklah hadith dacif tersebut tidak bercanggah dengan dalil lain yang lebih kuat daripadanya. Ini kerana pada ketika itu wajib kita beramal dengan hadith yang lebih kuat kesahihannya bukan hadith daif.


muhammad_efendie

No comments:

Post a Comment